Assalamualaikum
'Kalau tak pandai menari, jangan salahkan lantai jongkang-jongkit'
Mungkin kita biasa dengar istilah sebegini yang sering di sebut-sebut sebagai perumpamaan pada orang yang tak tau, cuba tunjuk tau tapi akhirnya menyalahkan orang lain jika hasilnya tidak seperti yang di harapkan.
Ita sering terima rungutan, teguran dan ada juga kata-kata yang kadang kala menguris perasaan.Tapi biasanya setiap apa sahaja ita terima seadanya, ita memang jenis yang malas nak ambil kisah setiap apa yang orang katakan. Mana yang baik ita akan jadikan ianya sebagai satu panduan dan yang tak elok ita jadikan ianya sebagai pengajaran untuk ita meniti perjalanan ita dari sehari ke sehari yang semakin berliku-liku.
Setiap resepi yang ita kongsikan dalam blog biasanya semuanya bertuan. Ita akan sertakan dari mana setiap resepi itu ita rujuk, siapa pencipta resepi asalnya ( kalau yang ita tau) atau dari mana sumber rujukan itu ita perolehi.
Ita sangat-sangat menghargai jerih perih mereka yang mengilhamkan sesuatu resepi dan mereka yang sudi berkongsi resepi dengan rakan-rakan. Inilah ilmu yang sangat bernilai pada ita kerana ianya akan menjadi darah daging dalam diri insan-insan yang mencuba resepi tersebut, apatah lagi hidangan tersebut turut di nikmati oleh mereka seisi keluarga. Selagi ada manusia di atas muka bumi Allah ini, selagi itu lah kita perlukan makanan untuk hidup dan di situlah betapa besarnya jasa dan pengorbanan pencipta sesuatu resepi masakan.
Berbalik kepada apa yang ita ingin sampaikan kepada adik-adik ita di luar sana, sebagai mana insan lain ita juga mempunyai banyak kekurangan, banyak yang ita tak tau dan banyak lagi yang ita perlu ambil tau. Apa yang penting, kita sentiasa ingin belajar, sentiasa ingin memperbaiki diri, belajar dari kesilapan dan jangan ulang kesilapan yang sama.
Kepada mereka yang baru berjinak-jinak ke dapur, atau baru kenal resepi. Mungkin hari ini kita dapat belajar sesuatu untuk meningkatkan kemahiran kita dan memperbaiki kelemahan diri. Apa yang ita kongsikan ini juga sebagai panduan buat ita juga, anak-anak untuk sama-sama menambahkan ilmu dan memperbaiki lagi setiap kelemahan.
Bila kita dapat sesuatu resepi yang menarik, baca setiap resepi dengan teliti. Fahami setiap sukatan bahan yang diperlukan, dan kena kenalpasti apa pula peralatan yang di gunakan. Jangan terburu-buru nak buat, lepas tu bila hasil tak memuaskan hati kita mula salahkan resepi atau mereka-mereka yang kongsikan resepi tersebut yang dikatakan tidak ikhlas....
Kenapa selalu ada perkataan yang berbunyi " saya dah buat resepi ni sebijik-sebijk macam yang di ajarkan, ikut sebulat-bulat seperti resepi yang dikongsikan tapi kenapa kek saya tak jadi sebijk macam yang awak buat?"
Macam ni lah kan.. setiap manusia itu Allah jadi kan berbeza-beza, bukan sahaja dari warna kulit tapi rupa dan jantinanya juga berbeza-beza. Manalah ada manusia yang sama.. kembar yang seiras pun kita dapat bezakan mana kakak mana adik..
Seperti juga kuih yang kita buat, lain acuan lain lah kuih yang di hasilkan.. Air tangan seseorang memang lah berbeza, itulah anugerah yang Allah ciptakan tanda kebesaranNya.
Bahan yang digunakan juga mungkin tidak sama. Bahan asas untuk membuat kek mestilah tepung. Tepung pula ada pelbagai jenis tepung yang setiap satunya mempunyai kandungan dan fungsi yang berbeza. Oleh itu baca resepi betul-betul, jika dalam resepi guna tepung kek jangan pandai-pandai tukar kepada tepung gandum kerana ia akan menghasilkan tekstur kek yang berlainan. Ikut arahan pada resepi dengan tepat.
Penggunan lemak juga perlu di ambil perhatian. Kek yang di hasilkan menggunakan mentega yang tinggi kualitinya tidak sama dengan hasil kek yang menggunakan margerin atau minyak. Kek yang menggunakan minyak sayuran atau minyak jagung tidak sama hasilnya jika kita menggunakan minyak dari kelapa sawit.
Gula juga salah satu bahan yang penting. Biasanya di disetiap resepi ada dinyatakan gula yang bagaimana yang sesuai untuk resepi tersebut, contohnya gula biasa, gula kastor, gula perang, gula aising, sirap kencana, madu dan lain-lain lagi.
Telur sangat penting, untuk mendapatkan kek yang gebu dan cantik teksturnya... pilihlah telur yang baru. Biasanya telur yang digunakan adalah dalam gred A yang beratnya anggaran 50gm. Ini berbeza pula bagi telur yang di sarankan dalam gred yang berlainan. Ini belum lagi termasuk bahan penaik yang digunakan dalam setiap resepi.Bahan-bahan juga perlulah disukat dengan tepat dan menggunakan alat sukatan yang tepat (materik)
Cara kek di hasilkan juga berbeza mengikut tangan yang membuatnya. Cara penyediaan, teknik memukul adunan yang betul dan cara kek dimasak, samaada secara pembakaran, kukusan atau steam bath.
Struktur kek adalah sangat rapuh, oleh itu panduan berikut dapat membantu :
- Pastikan oven dipanaskan terlebih dahulu 15 minit sebelum adunan kek dimasukkan
- Pastikan rak oven berada dalam keadaan rata
- Jangan biarkan rak pembakar terlalu rapat
- Pastikan suhu tepat, jika terlalu panas kek akan mengembang di bahagian tengah dan cepat mengeras sebelum naik. Suhu yang sejuk pula menyebabkan kek padat dan tidak mengeras secukupnya.
- Jangan buka pintu oven semasa kek dibakar, kerana ini akan menganggu proses kek menaik.
- Suhu oven juga bergantung pada jenis oven dan jangka hayat oven tersebut.
- Loyang yang digunakan juga haruslah bertepatan dengan kuantiti adunan.
- Bagi kek yang dikukus pula, pastikan kukusan di panaskan dahulu hingga airnya mendidih sebelum adunan kek di letakkan.
- Kek yang dikukus juga bergantung pada kepanasan kukus, ada yang perlukan api yang besar dan ada yang perlukan api yang sederhana.
- Masa sesuatu kek itu perlu di kukus juga sangat penting dan ianya perlulah tepat. Oleh itu baca setiap arahan pada resepi dengan teliti.
Akhir sekali masaklah dengan iklas dan penuh rasa kecintaan kita terhadap resepi tersebut dan kecintaan dan kasih sayang kita kepada keluarga. Kerana jika kita iklas memasak insyaallah kek itu juga akan iklas melahirkan zat dan sifatnya.
Sebelum mula memasak, tarik nafas dalam-dalam dan hembus, tenangkan hati dan lapangkan fikiran. Mulakan memasak dengan lafaz Bismillah dan kata puji-pujian terhadap bahan-bahan yang akan kita masak. Ianya juga adalah makhluk Allah yang mempunyai zat dan sifat. Sebagaimana penciptaNya yang suka pada puji-pujian makhuknya juga suka bila dipuji. Jangan malu untuk bercakap dengan bahan-bahan tersebut kerana dengan bercakap dengan mereka insyaallah hasil masakan kita akan bertambah lazat dan nikmat yang tak terkata... Wallahualam...
Resepi ni adalah resepi kek karamel yang ita olah coraknya. Untuk dapat kan resepi dan cara-cara membuatnya sila rujuk di SINI
Pastikan anda ikut setiap arahan pada resepi dengan tepat. Insyaallah.. pasti akan terhasil satu resepi yang lazat tak terkata yang juga sesuai untuk hidangan sebagai manisan pada bulan Ramadhan.
Pastinya yang clown comel sesuai untuk door gift, atau untuk menarik minat anak-anak kecil untuk terus melekat di meja hidangan.
* untuk resepi ini ita gunakan 2 loyang empat segi tepat, untuk satu adunan kek dan 2 adunan karamel.
1 adunan karamel untuk satu loyang
1 adunan kek di bahagi sama banyak untuk 2 loyang
Panjang loyang 9 inc
Tinggi 2 inc
lebar 3 inc