Hari ini adalah hari pertama persekolahan bagi sesi 2013. Pasti ramai ibu bapa yang sibuk menguruskan anak-anak, lebih-lebih lagi jika ini adalah pengalaman pertama anak-anak berada di bangku sekolah dan juga pengalaman pertama bagi ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah.
Pasti pelbagai ragam anak-anak yang dapat di lihat, ada tak sabar nak ke sekolah, tak kurang juga yang berdebar-debar melalui pengalaman pertama ini.
Pengalaman pertama ita di bangku sekolah cukup menyeronokkan. Kerana sebelum itu ita tak pernah ke sekolah apatah lagi ke tadika. Sebenarnya bapa ita terlupa untuk mendaftarkan ita pada awalnya. Kerana anak yang ramai, sampai bapa ita terlupa tarikh lahir ita. Alhamdulillah akhirnya ita diterima masuk sekolah walaupun tidak mendaftar lebih awal.
Tidur malam ita tak lena dibuatnya, tak sabar untuk menanti matahari bersinar. Awal-awal pagi ita dah bangun, tak sabar nak mengalas beg baru dan memakai uniform sekolah yang baru di belikan emak. Selepas menjamah jemput-jemput dan air teh kosong yang disediakan emak, ita terus membonceng motosikal. " jangan cengeng-cengeng.. jangan gembeng-gembeng...' ituah pesan emak ketika ita mengucup tangan emak..
Hari ini giliran ita pula menyediakan keperluan anak-anak ke sekolah. Seperti emak ita juga menyediakan jemput-jemput untuk Dalili mengalas perut. "perut tak bolehg kosong, nanti susah ilmu nak masuk" teringat lagi amanat emak.. Kini amanat itu ita sampaikan pula pada anak-anak.
Pagi ini Dalili kesekolah diiringi hujan yang lebat.. Hujan rezeki nak.. semoga Dalili mendapat ilmu selebat air hujan dan sederas arus sungai yang mengalir..
Belajar rajin-rajin ye nak.. semoga tercapai segala apa yang dicita-citakan.. Doa emak sentiasa mengiringi perjalanan mu..
Selepas Dalili hilang dari pandangan, ita terus ke peti ais, apalah yang nak di masakan hari ini? Ita capai sebungkus pelastik berisi ayam. Ayam yang keras ni perlu di lembutkan dahulu.. kalau tak tak sempat pulak..
Hari ini ita masak lauk gulai kawah, lauk kegemaran kami sekeluarga dan juga lauk yang cukup sinonim di negeri Cik Siti Wan Kembang. Kebiasannya orang Kelantan menggunakan daging untuk menyediakan lauk ni. Jemu asyik makan daging aje.. ita cuba pula dengan ayam.
Untuk menyediakan Gulai Kawah ni, ada rempah gulai kawah yang khas. Ita pun tak pasti apa rempah ratus yang diletakkan dalam ramuan rempah gulai kawah ni. Tapi yang penting rasanya memang sedap!
Bila pulang ke Kota Bahru, ita pasti tak akan lupa untuk membeli rempah gulai kawah ni. Kadang ita beli sampai berkilo-kilo, tapi tak apa sebab rempah ni tahan lama.
Untuk menyediakan gulai kawah ni, ita ikut keselesaan ita dan juga selera keluarga. Ita tambahkan sedikit cili kering supaya gulai ni pedas-pedas manis sikit. Kat rumah ita ni semua suka yang pedas.. Ita juga letakkan gula Melaka untuk menambahkan lagi lemak manis kuah ni.
Pada ita, memasak ni tak payah sangat ikut resepi yang tepat, asalkan kita selesa dan sesuai dengan citarasa kita sekeluarga itu lah yang terbaik kita sediakan.
AYAM MASAK GULAI KAWAH
1 ekor ayam ~ di potong, cuci bersih, lumurkan ayam dengan kunyit dan garam kemudian di goreng separuh masak.
3 sudu besar rempah gulai kawah
6 ulas bawang merah ~ dikisar
3 ulas bawang putih ~ dikisar
1 inc halia ~ dikisar
1 batang serai ~ dikisar
7 tangkai cili kering ~ dikisar
1 batang serai ~ dititik
1 buku gula Melaka
1 biji santan kelapa
1/2 cawan air asam jawa
Rempah tumis ~ kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang
Minyak untuk menumis
Air secukupnya
1 kiub ayam
garam dan gula secukup rasa
Kentang jika suka
Pijarkan minyak dalam periuk atau kawah
Tumiskan rempah tumis dan serai yang dititik
Setelah harum, masukkan bahan yang dikisar, tumis sampai naik bau dan terbit minyak
Masukkan rempah gulai kawah dan masak sampai garing.
Tambahkan air , air asam jawa dan kiub ayam
Kemudian masukkan gula Melaka yang dihiris.
Jika nak letak kentang, bolehah masukkan kentang.
Masak hingga kentang empuk dan kuah mendidih.
Kemudian masukkan ayam dan santan
Masak hingga kuah pekat
Perasakan dengan garam dan gula
Sedia dihidangkan