Senin, 17 Desember 2012

SWISS ROLL ZIRAFAH

Assalamualaikum


Dah lama sebenarnya ita berangan-angan untuk menyediakan kek roll ni. Setiap kali melihat rakan-rakan menyediakannya hati terdetik.. bilalah ita dapat melempiaskan hajat..

Ita amat suka buat sesuatu yang baru, bosan setiap kali buat benda yang sama. Pada ita dunia masakan sangat unik, penuh dengan aroma, warna warni, tekstur dan kreativiti yang mana bila kita berada di antaranya terasa kita telah menggunakan setiap deria yang Allah kurniakan.


Dari kerana mata kita jatuh cinta, sentuhan buatkan kita terbuai-buai dengan seribu satu keindahan.. rasa yang buatkan kita terlompat-lompat dan menari-nari kesukaan.. setiap irama mengalunkan melodi yang indah untuk didengar.. aroma yang meliuk-liuk buatkan kita tak sabar-sabar dalam penantian..
Begitu besar anugerah yang Allah kurniakan.. dan seharusnya kita mensyukuri.. nikmat itu.

Setiap hari bila celik sahaja mata, apa yang ita fikirkan hanyalah untuk menyediakan juadah yang paling istimewa untuk keluarga tersayag. Ita berharap agar juadah itu nanti akan menjadi kenangan terindah buat insan-insan yang berada di hati ini. Manalah tau.. kalau ianya merupakan air tangan ita yang terakhir.. ita mengharapkan keenakkannya terpahat di sanubari dan sentiasa dikenang..

Ayam rintik di pinggir hutan
Nampak dari tepi telaga
Nama yang baik jadi ingatan
Seribu tahun terkenang juga

Bila memandang ke muka laut
Nampak sampan mudik ke hulu
Bila terkenang mulut menyebut
Budi yang baik ingat selalu
 


Swiss Roll Zirafah, adalah idea unik yang telah dikongsikan oleh SiewHweis Kitchen  dan di sebarkan oleh Eggplant10. Setiap resepi yang di kongsikan di laman web ita lihat dalam bahasa Cina dan ada juga dalam bahasa Jepun, dan ita tidak pasti pula siapakah gerangan pemilik yang mencetuskan idea yang cukup kreatif dan unik ini.

Tapi ada juga insan yang sudi kongsikan resepi ini dan dialih bahasa ke dalam bahasa Inggeris, terima kasih ita yang tak terhingga kepada Everybody Eats Well in Flanders yang telah bersusah payah translatekan resepi ni kedalam bahasa Inggeris supaya dapat di cuba oleh rakan-rakan yang berlainan bangsa dari seluruh dunia.


Bukan itu sahaja, ada juga insan lain yang cukup ita hormati, bakat dan kerajinannya yang juga telah mengalih bahasa resepi ini ke dalam bahasa Melayu untuk di cuba oleh rakan-rakan di Malaysia, Singapura, Brunei, dan Indonesia yang berminat untuk mencuba, dan beliau yang ita maksudkan tak lain-tak bukan ialah kak Wan, pemilik dapur Citarasawan. Terima kasih semua.. jasa dan pengorbanan anda sentiasa ita kenang..

Bagaima pula dengan rakan-rakan ita di luar sana..?
Tak teringin ke nak mencuba?

Mungkin ada yang terkejut melihatkan step by stepnya yang panjang berjela dan nampak agak rumit cara penyediannya. Tapi percayalah ianya tak serumit yang disangkakan.

Ita mengambil masa yang agak panjang untuk menyediakan kek ini, memandangkan ita terpaksa untuk membuat step by step. Ini adalah untuk memudahkan adik-adik ita yang baru berjinak-jinak ke dapur dapat memahami cara penyediaan yang betul dan tepat. Sebenarnya ita  sedih setiap kali membaca coretan adik-adik yang menyatakan kek yang mereka sediakan tak menjadi dan terpaksa pula di humban.. aduh!! tak dapat ita bayangkan kekecewaan itu apatah lagi jika ianya adalah permulaan awal untuk mula berjinak ke dapur. Bertambah-tambah lagi, dengan bahan-bahan yang semakin meningkat harganya di pasaran..


Apa yang dapat ita nasihatkan disini, baca setiap resepi dengan betul. Fahami fungsi setiap bahan, sediakan bahan-bahan yang diperlukan sebaiknya, sukatan bahan haruslah tepat sebagaimana yang tercatat dalam resepi. Jangan mengubah bahan tanpa kita ketahui fungsinya, jangan menggunakan teknik anggaran bila menyukat bahan lebih-lebih lagi jika kita nak menyediakan kek yang amat sensitive cara pengolahannya. Pastikan kita telah bersedia 100% mental dan fizikal bila nak membuat kek. Jangan ambil jalan shortcut dengan memandai-mandai mengedit beberapa bahan dalam resepi sekiranya kita bukan pakar masakan. Pastikan kita memahami fungsi oven kita yang sebenarnya. Kepanasan sesuatu oven banyak bergantung pada jangka hayat oven tersebut. Pastikan tepung, serbuk koko, baking powder diayak terlebih dahulu. Pastikan juga telur berada dalam keadaan segar. Kita juga kena fahami beberapa teknik dan bahasa baking seperti, double boiler, kukusan, kaub balik adunan, tempering, softpeak, meringue, kental, putih gebu, gebu ringan, berkrim, sebati dan lain-lain lagi.

Bila kek dah siap, gunakanlah kreativiti kita pula untuk mencorakkannya sebaik mungkin. Ialah dah penat-penat bersinsing lengan didapur tiba-tiba kita seperti melepaskan batuk ditangga  pula bila menyudahkan decorasinya.

Deco adalah sangat penting, kerana dari mata meruntun ke hati..
Bila memasak juga kita diuji dengan sifat sabar yang tinggi. Kek yang telah siap tidak boleh terus dipotong, simpan dalam peti ais jika kek berkrim, cheese cake, mouse cake atau kek berganache. Paling kurang 4 jam dan sebaiknya semalaman, untuk kita mendapatkan potongan yang menarik.


Macam mana ? dah bersedia nak menyediakan kek ?
Jom bersama Dalili terokai cara penyediaan Swiss Roll Zirafah yang unik ini yokk!!


SWISS ROLL ZIRAFAH
Sumber : Everybody Eats Well in Flanders
Di alih bahasa oleh : Citarasawan

Mula-mula sediakan loyang berukuran 10 X 10 inc
Lukiskan corak zirafah di atas sekeping kertas minyak
Sapukan atau griskan loyang dengan butter
Terbalikkan kertas minyak yang telah dicorakkan tadi dan letakkan di dalam loyang
Sapukan atau griskan atas kertas minyak tadi dengan butter sehingga rata, ini bertujuan supaya corak tidak melekat pada kertas minyak apabila kertas minyak di tanggalkan
Setelah siap ketepikan

Sekarang kita mulakan proses untuk menyediakan kek
Mula-mula kita sediakan dahulu adunan coklat. Untuk memudahkan kita bahagikan adunan ini kepada 2 peringkat.

Peringkat pertama

Adunan Coklat

Bahan A
3 biji kuning telur
15 gm gula kaster
60 ml air
40 ml minyak mazola / minyak masak
75 gm tepung gandum
1/2 sudu teh esen vanilla


  1. Satukan gula dan telur
  2. Pukul sehingga adunan berkrim
  3. Tambahkan esen vanilla
  4. Air dan 
  5. Minyak
  6. Pukul adunan hingga sebati
  7. Tambahkan tepung
  8. Kaup balik adunan hingga rata
  9. Ambil 2 sudu besar adunan, asingkan untuk di campurkan dengan adunan corak zirafah
Setelah siap ketepikan. Sekarang kita buat pula adunan putih telur (Bahan B) yang akan kita campurkan dengan adunan dari Bahan A. Kita juga akan sediakan Bahan C yang akan kita campurkan sekali dengan adunan Bahan A dan Bahan B

Bahan B
3 biji putih telur
50 gm gula kaster
1/4 sudu teh cream of tartar

Bahan C
8 gm serbuk koko
1 sudu teh coklat emulco

  1. Pukul putih telur hingga berbuih
  2. Kemudian tambahkan cream of tartar dan
  3. Gula kaster
  4. Pukul bahan ni dengan mixer sehingga ia jadi kental / kaku / bertanduk ( softpeak)
  5. Ambil 1/4 adunan dan masukkan di dalam adunan Bahan A yang telah kita sediakan tadi. Gaul rata dengan kaedah kaup balik.
  6. Campurkan semua baki yang selebihnya ke dalam adunan dan gaulkan dengan kaedah kaup balik sehingga ia sebati.
  7. Sekarang kita tambahkan serbuk koko dari Bahan C
  8. Tambahkan juga coklat emulco
  9. Dengan kaedah yang sama, kaup balik adunan hingga ia bergaul sempurna. Ketepikan
Selesailah proses pringkat pertama.
Sekarang kita  beralih pula pada proses peringkat ke dua. Proses untuk menyediakan adunan mencorakkan zirafah

Peringkat ke dua

Adunan Corak Zirafah
1 biji putih telur
2 sudu teh gula kaster
1 sudu teh tepung gandum
2 sudu besar adunan dari Bahan A yang telah kita asingkan tadi


  1. Pukul putih telur bersama 2 sudu teh gula kaster sehingga kembang dan bertanduk (softpeak)
  2. Tambahkan tepung dan kaup balik adunan sehingga sebati
  3. Kemudian kita masukkan pula 2 sudu besar adunan Bahan A yang telah kita asingkan tadi. Gaul rata adunan dengan kaedah kaup balik sahaja.
  4. Masukkan adunan yang telah siap ke dalam piping bag
Sekarang boleh lah kita mulakan proses peringkat ke tiga iaitu , melakar corak atas kek dan diikuti proses penyediaan kek kita.
Sebelum itu panaskan oven terlebih dahulu pada suhu 170C
Ita letak pada rak bawah dan menggunakan api atas dan bawah.

  1. Potong hujung piping bag. Paipkan atas lakaran corak yang telah kita lukiskan di atas kertas minyak tadi
  2. Setelah siap , bakar di dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 170C selama 1 minit sahaja.
  3. Bila adunan dah masak, keluarkan dari oven dan tuangkan pula adunan coklat tadi
  4. Ratakan hingga ke setiap penjuru loyang
  5. Hentak-hentakkan loyang, untuk menghilangkan gelembung udara yang terperangkap didalam adunan. Bakar adunan di dalam oven pada suhu 190C selama 10 ~ 15 minit sahaja atau sehingga kek kita di masak dengan sempurna.
  6. Bila kek telah masak keluarkan dan terbalikkan kek kita tadi di atas redai dengan kertas minyak nya sekali. Jangan buka kertas minyak sehingga kek benar-benar sejuk. Bila kek telah sejuk barulah kita tanggalkan kertas minyak tersebut.
Sekarang, bolehlah kita mulakan pula peringkat ke empat.

Bahan Filling
100 gm krim putar bukan tenusu ~ Non Dairy Whipping Cream
100 gm Blueberry Filling ~ jika suka


Putar krim putar bukan tenusu / Non Dairy Whipping Cream sehingga kental / kaku ( softpeak)
  1. Letakkan kek di atas sekeping kertas minyak dengan corak zirafah di sebelah bawah
  2. Letakkan blueberry filling di atasnya dan ratakan
  3. Letakkan juga Non dairy Whipping Cream yang telah kita putar tadi
  4. Dengan berhati-hati gulung kek membentuk selinder
Balut kek dengan kertas minyak dan simpan di dalam peti ais semalaman atau paling kurang 4 jam sebelum di potong.










Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+
Tags :

Related : SWISS ROLL ZIRAFAH