Selasa, 18 Desember 2012

KEK KUKUS ASAM MANIS

Assalamualaikum


Satu lagi resepi kek yang akan ita kongsikan hari ini, masih lagi dari koleksi buku resepi Jamuan Kek dari Chef Zubaidah. Seronok pula bila mencuba resepi dari buku ini, kerana hasilnya tidak mengecewakan.

Sebagaimana yang ita katakan, di dalam buku ini terhimpun pelbagai jenis kek yang semuanya menambat selera dan mengoda kalbu, terasa seakan mahu di cuba kesemuanya. Keknya juga sangat mudah penyediannya dengan bahan-bahan yang cukup simpel.

Bukan ita sahaja, Dalili pun teruja nak membuat kek dari buku ni.. sebab amat mudah!



Kek kukus asam manis ini ita sediakan pada hari Ahad yang lepas. Kebetulan kawan suami ita singgah ke rumah. Kedatangannya pada lewat malam buatkan ita tak tahu nak sediakan apa untuk di hidangkan. Nak masak yang berat-berat takut dah malam sangat.. akhirnya ita buat kan kek dan juga ita buatkan sardine puff. 

Kedua-duanya amat mudah di sediakan dan tak lah terlalu berat untuk dinikmati pada malam hari. Sambil berbual-bual kosong sambil menghirup secangkir kopi kosong dan sepiring kek yang lembut dan gebu..


Tak sangka pula, kawan suami ita cukup sukakan rasa kek yang lemak dan masam-masam manis ini. Berkeping-keping juga di jamahnya, buatkan hati ita berbunga-bunga ceria apabila dipuji tentang keenakan dan kesedapan kek ini. Merah padam juga muka ini apabila dipuji sebegitu.. terasa segan pula..

Ita tinggalkan suami dengan rakan-rakannya selepas menghidangkan kek dan kopi. Hingga ita tak sedar bila mereka beransur pulang.

Kedatangan rakan suami ita itu kerana nak membawa anak-anaknya bercuti ke Legoland. Ialah, inilah masanya nak bercuti bersama keluarga, setelah bertungkus lumus bekerja sepanjang tahun. Tapi kawan suami ita tu, tak pula bawa isteri dan anak-anak bersama ke rumah, mungkin segan atau hanya teringin bertemu rakan lama..


Pagi itu suami ita dapat panggilan telefon dari beliau yang bertanyakan tentang kek yang ita hidangkan semalam. Suka sangat dengan kek tersebut buatkan beliau menceritakan tentang kesedapannya kepada orang rumah. Bimbang orang rumah kempunan, ita pun membuatkan lagi kek itu untuk di bawa pulang sebagai bekalan..

Seronoknya hati mereka bukan kepalang dan tak putus-putus mengucapkan terima kasih bila ita kirimkan sekotak kek yang masih hangat-hangat lagi..

Sebenarnya ita pun tak pasti.. dan masih termangu-mangu.. sedap sangat kek kek tu..? Kerana dah terlalu kerap sangat buat kek, ita seolah-olah dah tidak dapat mengagak kek yang sedap.. mungkin dah terasa jemu kerana kerap sangat membuat kek. Lagi pula ita tak beberapa mengemari kek yang berat..

Melihatkan kek yang cepat aje licin dari pinggan di makan anak-anak dan suami, ita rasakan ianya juga akan menjadi kek yang enak untuk dicuba oleh rakan-rakan ita yang lain..

Kepada yang teringin, boleh lah mencubanya..


KEK KUKUS ASAM MANIS
By : CHEF ZUBAIDAH
Rujukan : Buku Masakan Jamuan Kek

325 gm mentega
250 gm gula kastor
300 gm tepung naik sendiri
6 biji telur
1 sudu teh esen vanilla
100 gm kepingan asam manis ~ dipotong halus

Sediakan loyang berukuran 8 inc
Sapukan mentega pada loyang dan alas dasar loyang dengan kertas kek

Panaskan kukusan dengan api yang besar

Pukul mentega dan gula hingga sebati
Masukkan telur satu persatu dan terus memukul hingga rata
Tambahkan esen vanilla dan teruskan pukul
Akhir sekali masukkan tepung dan kepingan asam manis
Tuangkan adunan yang telah siap ke dalam loyang
Tutup loyang dengan kepingan aluminium foil
Kukus kek selama 1 jam dengan api yang besar atau sehingga kek di masak dengan sempurna

Sejukkan kek sepenuhnya di atas redai setelah masak sebelum di potong dan dihidangkan.




Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+
Tags :

Related : KEK KUKUS ASAM MANIS

  • KEK LAPIS KEJU COKLATAssalamualaikum..Alahaiii.. lambat pulak ita masukkan N3 hari ni.. Tadi kawan ita  pun dah call, tanya.. "mak cik.. mana ni resepi tak masuk lagi.. " hihi sebenarny ...
  • MILLE CREPE WITH VANILLA CREAM CUSTARD AssalamualaikumTak habis-habis lagi demam crepe. Hari ini sekali lagi ita tampil dengan resepi crepe tapi bukan lagi Durian Crepe tapi kali ni Mille Crepe pulak!Mille Cr ...
  • BANANA CHOCOLATE MOUSSE CAKEAssalamualaikum dan selamat pagi kepada semua pengunjung setia dapur maya Masam Manis ita ni. Semoga semuanya sihat-sihat dan ceria-ceria selalu disamping keluarga dan j ...
  • SWISS ROLL ZIRAFAHAssalamualaikumDah lama sebenarnya ita berangan-angan untuk menyediakan kek roll ni. Setiap kali melihat rakan-rakan menyediakannya hati terdetik.. bilalah ita dapat mel ...
  • KERANA MU MALAYSIAJALUR GEMILANGMerahmu bara semangat wajaPutihmu bersih budi pekertiKuning berdaulat payung negaraBiru perpaduan kami semuaPuncak dunia telah kau tawanLautan luas telah k ...