Selasa, 23 Oktober 2012

Sekejap aje....

Assalamualaikum.

Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana dengan limpah kurnianya kini blog ita telah melewati usia 2 tahun.
Pejam celik.. pejam celik, tak sangka dah 2 tahun ita keudara. Permulaannya hanya suka-suka , kini ita rasa semakin serius untuk berblog dan semakin meminati dunia blog yang kini menjadi sebahagian daripada rutin hidup ita.



Perjalanan hidup sebagai bloger kadang kala suka dan adakala di usik rasa juga. Namun semuanya adat permainan.. seperti juadah yang punya pelbagai citarasa, masam, manis, masin, pedas semuanya menjadi gulai yang enak untuk dinikmati bersama. Sebenarnya ianya adalah satu pengalaman hidup yang sangat berharga..

Kalau setahun yang lalu ita baru mengenal dunia.. setahun kini ita sudah mula belajar bertatih, mencari ruang yang selesa untuk ita terus berjalan dan berlari.. Besar harapan ita agar tahun mendatang ita dapat berlari dengan riang..

Melangkah ke tahun ke dua, pelbagai rasa ita harus telan, pahit, manis suka dan duka.. namun ita rasa tahun ini adalah satu cabaran yang hebat bagi ita dan juga tahun yang amat meletihkan. Bermula episod duka yang menyentap sanubari.. namun ita pasti 'hanya jauhari mengenal manikam' dan doa ita di Baitullah tidak putus agar kebenaran terungkai..

Disamping episod duka, ada riang ria bersama. Yang pastinya tahun ini menemukan ita dengan insan-insan yang sangat ita kagumi. Bermula pertemua ita dengan insan yang ita kagumi bakatnya, yang amat ita minati dan sanjungi.. akhirnya ita di undang untuk mengikuti bengkel kelolaan beliau. Chef Amer nama yang tidak asing lagi bagi pencinta coklat. Akhirnya pertemuan empat mata membuatkan ita semakin bersemangat untuk memasak dan mempertingkatkan lagi kemahiran memasak.. Melihat ketangkasan beliau di dapur, sering terdetik di hati.. bilalah ita juga akan hebat dan tangkas di dapur seperti beliau. Kata-kata semangat dan galakan daripada beliau sentiasa menyemat semangat buat ita untuk terus mencuba dan mencuba !


Berita gembira bila ita telah di undang untuk kongsikan resepi yang pernah ita cuba dalam beberapa media tempatan. Pada mulanya ita agak bimbang, maklumlah ita bukanlah seorang Chef masakan, Ita hanyalah seorang bloger yang baru bertatih di dapur masakan, dan semua resepi yang ita kongsikan di blog ada bertuan.. bimbang pula jika tuan empunya resepi tidak dapat menerimanya. Setelah berbincang dengan pihak media ita bersetuju jika setiap resepi yang ita kongsikan disertakan bersama blog ita sebagai rujukan, oleh itu dapatlah di rujuk siapa tuan empunya resepi asal agar tidak timbul permasalahan di kemudian hari kelak. Percayalah tidak sekelumit pun dalam diri ita ini untuk mengakui resepi itu milik ita jika ianya bukan ita yang empunya.. Ita sedar siapa diri ita dan di mana ita berpijak..

Kepada semua rakan-rakan yang mana ita telah cuba resepi dan ita kongsikan tak kiralah di blog ini atau di sisipan majalah, ita dengan penuh rasa rendah diri memohon agar semuanya dihalalkan. Ita percaya setiap ilmu yang dikongsikan itu bakal dijanjikan Allah dengan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.. dan semoga kehidupan kalian di berkati dan sentiasa  di murahkan rezeki..



Siapalah ita tanpa Masam Manis, dan apalah Masam Manis tanpa sokongan daripada anda semua. Adanya Masam Manis kerana adanya anda semua yang sentiasa berdiri teguh di belakang dan sentiasa tidak putus-putus memberikan sokongan. Jutaan terima kasih yang tak terhingga daripada ita diatas penghargaan ini dan kepercayaan ini.


Kepada semua rakan-rakan di facebook, twiter dan juga teman-teman di blog terima kasih kerana anda sentiasa menyuntik semangat buat ita. Kata-kata semangat dan sokongan yang tidak berbelah bagi sentiasa ita sematkan didalam hati ini dan akan sentiasa ita kenang dan jadikan ianya panduan dan pedoman untuk meneruskan perjuangan ini.

Andai ada perlakuan ita yang menyinggung perasaan, ita dengan rasa rendah diri menyusun sepuluh jari memohon keampunan, sesungguhnya ita juga hambanya yang lemah dan tidak pernah alpa dari melakukan kesalahan. Ita sedia menerima teguran dan sentiasa cuba untuk memperbaiki lagi kelemahan Masam Manis.

Terima kasih juga kepada teman-teman yang tidak pernah jemu melayangkan email pada ita, kadang kala bila ita membaca bait-bait ayat yang tercatat, hati ini meruntum sayu dan hiba hingga butiran kaca ini mengalir membasahi pipi. Ita tak sangka, perkongsian ini amat bermakna buat anda semua.. doakan yang terbaik buat ita sekeluarga dan doakan juga semoga ita sentiasa sihat agar dapat terus berkongsi rasa..

Terima kasih ita juga kepada tulang belakang ita selama ini yang sentiasa meniupkan semangat buat ita ketika ita hampir-hampir ingin mengundurkan diri dari berblog. Mereka yang sentiasa buatkan ita tersenyum ceria setiap hari. Sentiasa susah senang bersama dan sentiasa memberikan ita galakan yang tak putus-putus. Mereka jugalah yang mula-mula mengenal bakat ita. Mereka adalah keluarga ita yang sentiasa bersama ita kala  suka dan duka. Kepada suami tercinta, kepada anak-anak tersayang dan kepada kedua ibu dan bapa yang amat ita hormati,  terima kasih atas segala-galanya.


Untuk pengetahuan semua merekalah peminta nombor satu ita hihi ^_^
Suami ita, setiap kali celik mata pasti dia akan buka blog ita dahulu.. dan sebelum tidur pasti blog ita juga akan di tatap dahulu.. memang ita rasa sangat-sangat terharu.. 
Anak-anak pula sentiasa telefon dan tanyakan tentang masakan ita.. dari situ ita tau bahawa mereka juga sentiasa mengikuti perkembangan blog Masam Manis..
Yang paling buat ita sangat gembira, bila emak dan bapa ita sentiasa berikan ita semangat untuk teruskan minat ita ini.. sentiasa galakan ita untuk terus mencuba dan buat yang terbaik..

Terima kasih juga kepada rakan-rakan daripada luar negara yang turut sama menyelak helaian Masam Manis. Walaupun ada antara mereka yang sebenarnya tidak faham apa yang ita tulis tapi tetap juga sentiasa berikan ita sokongan. Ada antara mereka yang minta ita tuliskan dalam Bahasa Inggeris untuk memudahkan mereka sama-sama dapat memahami dan berkongsi apa yang ada. Ita ni sebenarnya tak berapa pandai sangat nak tulis dalam bahasa Inggeris.. maklumlah.. sekolah atap.. hehe tulis Bahasa Melayu pun tunggang terbalik.. dan selalu kena tegur dengan adik-adik di luar sana sebab selalu sangat salah ejaan.. haha

Ok lah pasti ramai yang nak tau apakah menu yang ita rasakan terbaik sepanjang yang telah ita cuba untuk tahun yang kedua ini. Terus terang ita sangat sukakan resepi ini, dan ita rasakan inilah the best recipes forever..


 


Devil's Food Chocolate Cake
By : Shelly Kaldunski book on Cupcakes
Di kongsikan oleh : The Kitchen Guardian

Chewy Gooey yummy Brownies
Di kongsikan oleh : Sesedap Rasa

Hokkaido Chiffon Cupcake
By : Seadragon
Dikongsikan oleh : Shyieda

Mille Crepe With Vanilla Cream Custard
Resepi Crepe by : Elaine's
Resepi Vanilla Cream Custard by : Cookpad
Dikongsikan oleh : Dailyclickclick

JAPANESE CRISPY CREAM PUFF
By : Little Japan Mama

Garlic Roll
By : Suhaina
 
Mangkuk Coklat Tiramisu
Resepi Mangkuk Coklat by : Chef Amer
Rujukan : Buku Terokai Rahsia Coklat Bersama Chef Amer
Resepi Tiramisu by: Rabiatun

Talam Roti Paun
By: Chef Asma
Dikongsikan oleh : Yatie


Ini pula adalah antara resepi yang menambat selera anda di luar sana. Ada yang tak berganjak dari tahun ke tahun 

Terima kasih daun keladi ita, kepada insan-insan yang telah mereka cipta resepi yang sungguh istimewa ini, dan terima kasih yang tak terhingga juga kepada sahabat-sahabat yang telah kongsikan resepi terbaik ini untuk di cuba pula oleh insan-insan lain. Semoga keikhlasan kita berkongsi ini di berkati dan sentiasa dalam rahmatNya


Jika tahun pertama cabaran ita bila ita terpaksa menyediakan beberapa resepi yang agak sukar dan meletihkan tahun ini cabaran ita sedikit berbeza malahan lebih hebat lagi dari tahun sebelumnya. Cabaran yang buat kan ita tak senang duduk, mandi tak basah dan tidur tak lena.. Pasti semua dah taukan Cabaran Cupcake Challenge.
Hingga tika dan saat ini ita masih lagi terasa-rasa debarannya yang sungguh kencang..  Hingga demam-demam ita dibuatnya dan berapa hari tak boleh bangun.. aduyaiii.. apalah ita ni..
Ita ni ada penyakit darah gemuruh sebenarnya.... hihi gegel lutut.. ^_^

Selain itu ita juga berhadapan dengan beberapa cabaran lain bilamana ita di undang untuk menitipkan beberapa resepi untuk majalah masakan tempatan. Date line dan jumlah resepi yang banyak, kadang kala buatkan ita rasa tak puas hati dengan hasil masakan yang ita sajikan. Faktor cuaca yang tak menentu kadang hujan kadang mendung benar-benar satu cabaran terutamanya bila date line semakin hapir.  Ita pernah diminta buatkan 10 resepi terbaru dalam masa 2 hari.. aduh.. memang cabaran sungguh...

Kini ita terpaksa lebih pentingkan kualiti dari kuantiti, biarlah ita bersiaran di alam maya kerana ita lebih puas hati kerana ita lebih releks dan dapat mezahirkan apa yang ita inginkan..


Ita rasa setiap daripada kita pastinya ada terselit perasaan ingin dihargai atas setiap hasil penat lelah yang kita lakukan. Begitulah juga dengan ita, tidak terkecuali dari perasaan itu. Bila ita dapat tau kek Checkered Rainbow Cake ita telah tersebar luas, ita rasa benar-benar teharu..
Setiap hari pasti ada yang akan pin gambar itu dan akan di repin semula aduyaiiii... bebesar hati sungguh bila ita terima komen dari minah-minah salih yang teruja dengan kejadian kek itu..
Terima kasih ita juga buat adik-adik yang telah memperkenalkan kek ita itu.. yang telah pin. Terima kasih banyak-banyak.. sayang semuanya :-)

Sebenarnya ita buat kek itu adalah atas cabaran dari suami ita. Suami ita memang suka cabar ita buat sesuatu yang kadang kala ita pun tak pasti ita boleh lakukan atau tidak.. Bukan sahaja dari resepi , cara penyediaan dan olahan malahan hingga ke teknik photography pun ia selalu mencabar ita untuk lakukan sesuatu yang lain dari yang lain...


Tapi ita bersyukur kerana dari cabaran itu ita mula belajar sesuatu yang baru dan mula menilai kemampuan diri..

Terima kasih ita juga kepada penerbit rancangan Semanis Kurma TV9 kerana telah memberikan peluang untuk Masam Manis ke udara di kaca TV buat julung-julung kalinya. Ia merupakan satu penghargaan yang cukup besar bagi ita dan Masam Manis dan merupakan satu kenangan yang cukup indah sepanjang tahun ke 2 ini.

Apa pula perancangan ita untuk tahun-tahun yang mendatang?
Banyak perancangan yang telah ita atur. Banyak juga resepi menarik yang telah ita kumpulkan untuk dicuba! yang pastinya ita berjanji pada diri ita sendiri untuk lakukan yang lebih baik lagi dan cuba memperbaiki setiap kelemahan. Ita benar-benar berharap setiap resepi yang ita paparkan memenuhi citarasa anda semua diluar sana dan ianya menjadi sebahagian juadah yang terhidang, semestinya buat santapan keluarga tersayang.

Terima kasih semua atas segala-galanya dan ita sudahi hari yang indah ini dengan alunan puisi hasil nukilan Irma Yusnita

Terima kasih …
telah membuatku kagum
telah membuatku tertegun
mengingatkanku akan kelemahanku
menjadi cermin atas ilmuku yang lusuh

Terima kasih …
telah membuatku sadar
telah membuatku tak gentar
mempertahankan apa yang kuyakini benar
menghilangkan ragu, khuatir akan pesona yang pudar
Mulia di sisi-Nya,
mengikuti sunnah Rasul-Nya

Terima kasih …
telah membuatku bangkit
telah membuat hatiku tak lagi sakit
yakin akan yang terbaik dari-Nya
senantiasa ikhtiar, tak berputus asa
lupakan kecewa,
menjemput berakah …

Terima kasih …
telah membuatku tak sendiri
telah membuatku kuat dalam hidup ini
dalam dakapan silaturahim
dalam naungan ta’awun menuju redoh-Nya
saling menghormati,
saling memotivasi

Terima kasih …
telah membuatku terus berkarya
telah membuatku berharga
meski dengan cara yang sederhana
jujur ….
rasa itu begitu indah
Menambah syukurku,
menopang letihku

Terima kasih …
telah membuatku tersenyum dan tertawa
telah membuatku ceria dan bahagia
mengobarkan kembali semangatku
memberikan energi kuantum atas kreatifitasku

Sahabat …
Engkau inspirasi bagiku
Mengingatkanku di tengah alpaku
Menjagaku di tengah lalaiku
Mendo’akanku meski aku tak pernah tahu




Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+
Tags :

Related : Sekejap aje....