Assalamualaikum
Anak lah ayam..
Anak ayam turun sepuluh..
Mati seekor..
Mati seekor..
Di makan Dalili..
Tinggal lah sembilan...ya a aw.. ya a aw
Amboiii... menyanyi-nyanyi pulak kak ita hari ni.. dah lah suara tak de ni..
Apa khabar rakan-rakan sekalian..
Semoga semuanya sihat dan sentiasa gembira di samping keluarga tersayang..
Ita masih lagi kurang sihat, demam tak kebah lagi..
Suara pun dah mula nak hilang..
Sakit tekak dah menyerang dan ada tanda-tanda akan di serang batuk.. huhu
Perubahan cuaca yang tak menentu, stress dan faktor permakanan yang tak menentu mungkin penyebab ita di serang penyakit. Kepada rakan-rakan di luar sana , jaga kesihatan ye.. Maklumlah sekarang ni macam-macam penyakit ada dipasaran.. kalau kita tak jaga kesihatan inilah padahnya..
Terlebih dahulu ita ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada rakan-rakan yang sentiasa menyokong ita dan Masam Manis. Sentiasa memberikan kata-kata semangat dengan komen yang sentiasa positif dan membina. Terharu sangat-sangat..
Maaf ye kerana kadang-kala ita tak sempat nak membalas setiap komen. Niat hati memang nak balas semua komen tapi atas faktor masa dan kesibukan ita tak dapat nak membalasnya.. Ita harap rakan-rakan dapat memahaminya. Insyaallah jika ita ada kelapangan ita akan balas...
Besar harapan ita agar ukhwah yang terjalin sentiasa berkekalan hendaknya.
Oleh kerana ita masih lagi tak berapa sihat, kita terus ajelah kepada resepi yang akan ita kongsikan hari ini.
Hari ni ita buat Sugar Cookies. Kebetulan hujung minggu ni sekolah Dalili akan mengadakan karnival. Para pelajar di minta oleh guru untuk menyediakan apa-apa sahaja yang boleh di jual pada hari karnival tersebut.
Dalili meminta ita buatkan cookies dan cup cake. Jadi ita pun mulakanlah projek mengukis sikit-sikit ni kerana bimbang tak sempat pulak nanti..
Resepi sugar cookies ni ita ambil dari sebuah blog masakan luar negara. Tapi ita lupa pulak nak salin linknya. Hari tu ita google-google jumpa, terus print resepi. La ni.. dok cari balik tak jumpa lah pulak linknya..
Ita ada ubah suai sikit resepi mengikut citarasa ita dan keluarga, ita kurangkan gula kerana takut terlalu manis. Biasa kalau resepi minah salleh ni dia manis sikit.
Sugar Cookies ni sesuai untuk di jadikan door gift, hantaran atau apa-apa buah tangan untuk majlis yang dirasakan bersesuaian.
Terpulanglah kepada kita nak buat design yang macam mana. Kalau untuk kanak-kanak ita rasa pastilah design kartun comel-comel yang memikat hati dan menambat selera.
Ada yang teringin mencuba?
Jom ikut ita masuk dapur, ita tunjukkan bagaimana caranya nak membuat sugar cookies yang comel ni.. yok!
CHICKS SUGAR COOKIES
225 gm mentega tanpa garam ~ kalau bergaram tak payah letak garam lagi
150 gm gula icing
1 biji telur ~ suhu bilik
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu teh garam ~ kalau guna mentega bergaram sila abaikan
2 sudu teh baking powder
450 gm tepung.
Ayakan tepung, baking powder dan garam ~ ketepikan
Satukan butter dan gula icing, dan pukul hingga berkrim
Tambahkan telur dan esen vanilla.
Dan terus memukul hingga sebati
Perlahankan mixer dan masukkan tepung yang telah di ayak bersama baking powder dan garam sedikit demi sedikit.
Putar hingga adunan menjadi doh yang tidak melekat di tangan.
Letakkan doh atas plastik wrapping, bungkus kemas dan simpan dalam peti ais semalaman.
Keluarkan doh dari peti ais
Canai doh atas dua lapik plastik setebal 1/2 cm
Gunakan acuan pilihan dan terap
Susun doh atas dulang pembakar
Panaskan oven 15 minit sebelum membakar cookies
Suhu 180C, gunakan api atas dan bawah.
Bakar doh selama 10 minit atau sehingga cookies masak sempurna.
Setelah cookies masak, susun atas redai hingga ia sejuk sepenuhnya.
Jika ingin simpan cookies sebelum di letakkan Royal Icing, simpalah di dalam bekas kedap udara.
Untuk Royal Icing sebenarnya ada 2 kaedah yang boleh di gunakan.
1. Kaedah menggunakan putih telur dan perlu di bakar semula
2. Kaedah menggunakan meringue powder tak perlu di bakar.
Hari ni ita nak menunjukkan kaedah yang ke 2 iaitu menggunakan meringue powder.
Sebenarnya ini adalah pertama kali ita menggunakan kaedah ni. Jadi masih lagi perlu banyak praktis supaya dapat menghasilkan permukaan icing yang licin dan rata.
Meringue ni kita boleh dapatkan dari kedai menjual bahan kek. Kalau jenama Wilton tu agak mahal sikit. Ita beli yang dah dipeketkan harganya dalam RM 22 dengan berat 200gm. Tapi dapat buat banyak kali lah kan, sebab satu adunan pun pakai tak banyak sangat dalam 1/3 cawan aje. Itu pun ada lebih banyak untuk adunan cookies yang ita buat.
Rasa-rasa ita kena buat 2 adunan cookie untuk dapatkan jumlah yang sama banyak dengan jumlah resepi royal Icing ni. Atau boleh juga buat 1/2 daripada adunan Royal Icing ni. Tapi payah jugak kan nak sukatnya tu..
Tapi tak pe.. kalau Royal Icing ni terlebih ia boleh di simpan dan boleh diguna semula. Tahan lama menyimpan, kalau masukkan dalam bekas kedap udara dan letakkan dalam peti ais boleh tahan selama 1 bulan.
Jom kita intai-intai pula resepi Royal Icing dan bagaimana cara nak menyediakannya.
ROYAL ICING
800 gm gula icing
1/3 cawan meringue powder
3/4 cawan air ~ air yang di masak suhu bilik
1 sudu besar jus lemon
Satukan gula icing dan meringue powder
Masukkan dalam mixer dan putar dengan speed perlahan hingga ia bercampur sempurna
Tambahkan air dan jus lemon dan pukul dengan speed sederhana.
Adunan akan menjadi seperti dalam gambar 2
Teruskan memukul dengan speed yang sederhana hingga adunan mengental seperti gambar 3.
Sekarang adunan royal icing telah tersedia dan boleh di gunakan.
Boleh lah diwarnakan mengikut kesesuaian.
Untuk membuat layout, jika adunan royal icing terlalu pekat tambahkan sedikit air ~ anggaran 1 sudu teh, sedikit-sedikit hingga ia mencapai kepekatan yang sesuai untuk membuat layout ( adunan tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair) kacau adunan rata.
Untuk bahagian dalamnya pula, adunan hendaklah licin dan cair sedikit dari adunan layout tapi tidak terlalu cair supaya bila kita paipkan ia tak meleleh turun. Oleh itu jika adunan pekat letakkan air sesudu teh demi sesudu sehingga mencapai piawaiannya OK!
Adunan bolehlah diwarnakan tetapi Jangan menggunakan pewarna yang berasaskan minyak. Hanya gunakan yang berasaskan air sahaja.
Sediakan piping bag secukupnya.
Untuk bahagian dalam boleh juga menggunakan botol sos yang lubangnya kecil.
Sediakan nozel lubang kecil untuk layout dan sedikit besar untuk bahagian dalam
Sediakan juga gelas. Lapik dasar gelas dengan tisu basah supaya icing tidak cepat mengeras.
Letakkan royal icing dalam piping bag dan letakkan dalam gelas yang telah dilapik dengan tisu basah tadi seperti dalam gambar.
Sekarang kita dah bolehlah mula melorek atas cookies.
Buatkan layout dahulu atas cookies, dan biarkan ia mengeras ~ gambar 1
Ini bertujuan bila kita letakkan lapisan dalam ia tak mengalir ke luar.
Kemudian paipkan pula bahagian dalam ~ gambar 2
Ratakan dan jika ada gelembung udara bersihkan dengan spatula atau lidi ~ gambar 3
Hentak-hentak sedikit cookies supaya ia rata ~ gambar 4
Buatlah kaedah yang sama untuk bahagian yang lain pula.
Jika nak letakkan mata atau sebagainya, tunggu sehingga icing mengeras baru letakkan mata atau bahagian-bahagian lain.
Jika icing ada terlebih, simpan didalam bekas kedap udara. Tutup kemas dan masukkan dalam peti ais. Ia tahan selama 1 bulan.
Tunggu sehingga icing benar-benar keras barulah di simpan sugar cookies kita ni didalam bekas kedap udara.
Atau boleh terus masukkan dalam bekas plastik kecil untuk door gift. Atau boleh juga masukkan dalam botol kecil, hiaslah botol dengan riben dan amat sesuai sebagai buah tangan.
Macam mana menarik kan?
Apa tunggu lagi dah boleh lah ambil tempahan..
Selamat mencuba dan selamat berniaga
Semoga bertambah-tambah rezeki..
Kepada rakan-rakan ita diluar sana yang mungkin ada mengambil tempahan membuat sugar cookies ni. Boleh lah tinggalkan link blog anda untuk di hubungi oleh rakan-rakan yang nak mengoder, di ruangan komen di bawah.
Ita tak ambil tempahan ye.. ita tunjukkan sahaja cara membuatnya.
Mai secawan...