Senin, 09 Juli 2012

Yang kita nak tau dan rasa

Assalamualaikum


Mesti ramai yang tertanya-tanya buah apalah pulak yang kak ita bawa kali ni? Mungkin ada juga yang dah tersenyum-senyum kerana  dah ada jawapan.. ialah dah terlalu kerap memakannya. Ada juga yang mengaru-garu kepala antara tau atau tak tau..
Ada juga yang dah mengecap-ngecap air liur, dah lama mengidam nak makan buah ni lah tu.. tapi tak tau mana nak cari..

Hari ni sekali lagi ita kenalkan buah yang dah jarang-jarang kita temui ni.. atau kadang-kadang aje kita temui..
Ini lah namanya buah binjai. Pernah makan??
Masa ita kecik-kecik dulu mak ita selalu meletakkan hirisan buah binjai ni dalam sambal belacan. Bukan main berselera lagi bapa ita makan, bertambah-tambah pulak bila di lawankan dengan gulai lemak dan ikan kering sepat. 


Ita pula suka akan baunya yang harum tu nak-nak bila dah masak ranum, satu rumah berbau wangi. Semalam masa ita pergi pasar, sedang ita belek-bek dan pilih-pilih sayur tiba-tiba ita terbau harum wangi yang biasa ita bau harumnya masa ita kecik-kecik dulu. emmm.. bau buah binjai. Mata ita pun apalagi melingas lah mencari di mana pulak kelibat buah ni bersembunyi. Selak sana silak sini sampai di tegur oleh kakak yang menjual tu..
" cari apa dek?"
" saya macam terbau buah binjai lah kak.. dari mana pulak ye bau ni datang?"
" ooo.. kat kedai sebelah tu dik baru sampai gi lah tengok.. manalah tau kot-kot mengidam.."
" eceh eceh akak ni macam tau-tau aje.. "

Alhamdulillah dapat jugak ita merasa buah binjai ni, macam mengidam pulak lagaknya kan.. Dah lama ita cari buah ni, tapi sekarang memang payah sikit nak jumpa. Dikatakan pokoknya bermusim, tu yang payah tu.. Tapi kalau ita balik Kelantan banyak pulak ita nampak buah ni di jual di Pasar Siti Khadijah tu..
Buah ni pula ita beli di Pasar Larkin di bandaraya Johor Bahru.


Pokok binjai adalah dari kelompok mangga. Ia mempunyai bau yang sangat harum bila telah masak ranum dan mempunyai rasa masam manis. Ia juga mempunyai pelbagai gelaran mengikut tempat dan daerah. Nama saintifiknya ialah  Mangifera caesia. Terdapat 2 jenis buah binjai, ada yang masam dan ada yang manis. Dikatakan yang berkulit kasar agak masam berbanding yang berkulit licin. Pokoknya  juga dikatakan berbuah mengikut musim.

Pokok binjai biasanya di tanam untuk buahnya. Buah binjai biasanya di makan segar setelah buah masak ranum, ada juga yang memasukkannya ke dalam minuman. Kebiasannya buah binjai di tambah dalam sambal belacan atau di jadikan kerabu, di makan bersama ulam-ulaman dan nasi. Ada juga yang meletakkannya di dalam gulai atau masakan.


Buah binjai muda tidak boleh di makan kerana rasanya sangat masam dan membuatkan tekak terasa gatal dan perit setelah memakannya. Biji buah binjai pula di tumbuk, di keringkan dan di jadikan keropok  yang terkenal dengan nama keropok binjai. Rasa  keropok binjai pula sedikit pahit, mungkin ada yang mengemari rasanya yang sedikit pahit dan tidak kurang juga yang tidak meminatinya. (yg ni tak pasti sebab ambil dari http://wannura.wordpress.com/?s=buah+binjai)

Pokok binjai dikatakan berasal dari Sumatra, Kalimantan dan Semenanjung Malaysia. Ramai yang meyakini bahawa pokok ini berasal dari Kalimantan.
Pokok binjai hidup subur di dataran rendah dan kebiasannya tumbuh di tepi sungai.


Buah binjai yang mengandungi banyak sari buah dan asam-manis rasanya dapat dimakan dalam keadaan segar setelah buahnya matang dan sebagai pencuci perut. Di Kelantan biasanya buah binjai di jadikan jeruk atau di jadikan colek. Di Terengganu pula, ia biasanya dijadikan jeruk, asinan dan diawetkan dalam garam dan disimpan dalam botol untuk membuat sambal. Manakala di Melaka pula buah binjai kebiasannya dimakan bersama sambal belacan, dicampur dalam masakan sambal binjai,  kuah kari binjai atau masak lemak binjai.


Buah binjai kulitnya kuning dan pokoknya biasa besar dan tinggi. Kepercayaan orang dahulu kala,  ada sesetengah orang kita tidak boleh dekat atau terkena kayu atau batang binjai, ini kerana ia akan menyebabkan  kulit akan kemerahan dan gatal atau dipanggil kena sembor atau gegata pada istilah orang Johor.

Masyarakat kita  juga memperbagaikan binjai masam dengan dijerok air garam dan dimakan untuk menaikkan selera makan.  Kata orang tak cuba tak tau..


SAMBAL BELACAN BUAH BINJAI

1 biji buah binjai yang masak ranum
3 biji cili merah
7  biji cili padi
1 inci belacan ~ dibakar
Sedikit garam kasar
Secubit gula
1 biji limau kasturi

Buah binjai dikupas kulitnya, dan diracik-racik ~ ketepikan
Dalam batu lesung, masukkan cili merah, cili padi, garam kasar, gula dan belacan yang telah dibakar.
Tumbuk semua bahan hingga lumat
Kemudian masukkan sedikit hirisan buah binjai dan lenyek sikit dalam lesung.
Masukkan baki hirisan buah binjai tadi , perahkan limau kasturi dan gaul rata.




Rujukan :
http://wannura.wordpress.com/?s=buah+binjai
http://hazila.blogspot.com/2009/06/buah-binjai.html

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+

Related : Yang kita nak tau dan rasa