Assalamualaikum..
Salam sejahtera semua... dah makan? Oppppsss...!! kita masih lagi berada di bulan Ramadhan. Dah hari ke berapa ye kita berpuasa? emmm.. dah lupa dah.. belum sampai seminggu lagi dah lupa! ni mesti banyak fikir nak buat persediaan Hari Raya..
Alhamdulillah dah masuk hari ke 6 dah kita berpuasa.
Waaa... ramai yang dah tanya.. Bila ni kak ita nak buat kuih raya..???
Sabarrrr.. raya lambat lagi nanti lemau kuih tu dalam balang.. hihi
Tak pun dah habis di makan anak-anak.. bila tiba raya dah nak kena buat lagi..
Sebenarnya mood nak buat kuih raya belum mari lagi.. daaaa
Cuba tolong tiupkan sikit angin rajin nak mengukis ni.. macam lemau aje nak raya tahun ni.. sebab tu macam malas aje nak buat kuih .. takut dengan kuih-kuih pun lemau.. ya adoo..
Besar kemungkinan tahun ni ita beraya di Kota Bahru. Atas pilihan anak-anak.. kata mereka seronok beraya di Kelantan hari - hari makan kenduri.. haha tu lah kan anak-anak bila raya ingat makan dan ingat duit raya aje.. yang lain dia tak ingat!
Sebenarnya memang seronok beraya di Kelantan, lebih-lebih lagi bila anak-anak dah besar. Dapat bertemu saudara-mara sebelah ayahnya yang jarang-jarang di temui. Yang paling seronok dapat main bunga api.. kalau kat JB ni mana lah dapat nak main bunga api.. Nak cari orang jual bunga api sekarang ni pun payah..
Lagi tambah menyeronokkan bila raya bersekali dengan musim buah-buahan, macam tahun lepas musim rambutan.. wah seronok anak-anak petik buah ikut tingkap aje.. almaklumlah rumah mak mertua ita tu kawasan banjir jadi rumah tinggi sebaya pokok rambutan.. tu yang mereka seronok sangat tuu.. aik! tahun lepas dah raya kat Kelantan kan?? eh mana aci ni dah 2 - 0
Aiii.. kena buat pilihan raya semula ni.. tak aci lah Kelantan lawan Johor asyik Kelantan aje yang menang.. ^_^
Aduyaiii.. kita lupakan kisah nak beraya.. aik.. tadi kata tak de mood nak raya sekarang macam semangat bukan main lagii..
Tu lah kan bila ingat raya baru mood tu datang..
Ok lah kita lupakan dulu.. nanti kita sambung balik ye.. ni ha.. nak masak apalah hari ni kan.. pening kepala den ni haa.. cuba bagi cadangan sikit?? ^_^
Apa juadah yang terhidang atas meja waktu berbuka semalam.. ?
Semalam ita masak yang simple jugak. Mudah dan ringkas. Ita goreng mi aje semalam. Hari sekolah ni kan memang tak sempat nak masak yang renyah-renyah.. jadi kita masak yang simple aje lah kan..
Ita masak Mihun Goreng Cili Api. Sekali lagi resepi dari buku masakan 1 Hari 1 resepi dari kak Liza. Dah kata dah bila bulan puasa buku ni memang sentiasa berkepit dengan ita, sebab semua resepinya cukup mudah dan ringkas. Dan setiap penyediaan tidak mengambil masa yang lama untuk menyediakannya. Rasanya pula tak payah cakaplah memang menambat selera kami sekeluarga.
Ita masak tak banyak sekadar untuk kami 3 beranak. Tak baik membazir..
Ita pun kurangkan cili apinya sebab takut pula kalau pedas nanti Dalili tak boleh makan.. kesian diaa..
Lagipun takut pula nak masak pedas-pedas bulan puasa ni takut asyik nak ke bilik air dah payah pulak nak pergi terawih.. adoiii.. alasan ^_^
Jom kita intai resepi yang mudah dan ringkas dari kak Liza
MIHUN GORENG CILI API
By : Chef Hanieliza
Rujukan : Buku masakan 1 Hari 1 Resepi
1 bungkus bihun ~ direndam dengan air dan toskan
200 gm sotong ~ dihiris nipis
100 gm udang ~ dibuang kulit
200 gm sawi ~ dipotong pendek
200 gm kobis ~ diracik
1 batang lobak merah ~ dipotong halus
3 keping tauhu ~ digoreng dan hiris nipis
1/2 cawan air
3 sudu makan minyak masak
Garam secukup rasa
Bahan Hiris atau Kisar
20 biji cili api
3 biji cili merah
2 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3 sudu makan udang kering
Panaskan minyak dan tumiskan bahan yang dikisar sehingga wangi
Masukkan sotong dan udang, kacau rata
Apabila masak masukkan garam dan air
Masukkan kubis, lobak merah,sawi dan mihun
Kacau rata hingga sebati
Gaul rata sehingga mihun lembut
Rasakan garamnya
Semasa menghidang taburkan hirisan daun bawang dan cili merah.
Selain mihun ita juga sediakan Rojak Tauhu. Ita memang suka makan rojak tauhu. Kalau gi makan kat luar selain rojak petis ita juga kerap order rojak tauhu.
Resepi ita ambil dari buku Pandai Memasak. Resepinya sangat mudah dan nak membuatnya pun senang. Ita buat pun tak banyak, sekadar untuk makan bersama suami aje.. sebab Dalili dia tak berapa suka rojak tauhu, dia lebih suka makan rojak petis atau rojak buah.
Kepada yang tak suka pedas ita rasa pengunaan cili api tu kena kurangkan, sebab ita letak sikit aje pun dah terasa pedas jugak! ke cili yang ita beli tu memang jenis yang pedas! Kuah rojak ni tak perlu di masak, jadi untuk air asam tu ita rasa seeloknya gunakan air panas atau air suam. Tak de lah perut meragam nanti, maklumlah sekarang bulan puasa kalau silap makan boleh memulas-mulas jugak perut tu nanti!
Jom kita semak resepi yang simple ni..
ROJAK TAUHU
Rujukan : Buku Masakan Pandai Memasak
8 keping tauhu ~ di goreng
1 butir timun ~ dipotong mancis
250 gm taugeh ~ dicelur
Kuah Rojak
300 gm kacang tanah ~ digoreng dan tumbuk kasar
1.2 cm belacan ~ dibakar
15 biji cili padi ~ kurangkan kalau tak suka pedas
3 ulas bawang putih
1/2 cawan gula merah
2 sudu besar gula pasir
1 sudu teh kicap manis
1/2 cawan air asam
garam secukup rasa
Bahan-bahan untuk kuah rojak ditumbuk halus.
Kemudian gaulkan rata bersama air asam
Selepas tu masukkan kacang tumbuk dan gaul rata
Tauhu dipotong 4.
Letakkan dalam pingan
Letakkan hirisan timun dan taugeh di atasnya
Tuangkan kuah rojak bila telah bersedia untk menikmatinya.
Dah makan tak kan tak de air pulak untuk membasahkan tekak?
Ada.. jangan risau, ita dah sediakan air nenas sebagai penghilang dahaga.
Untuk penyediaan air nenas ni cukup mudah. Hari tu ita nampak Mat pun buat air nenas. Caranya lebih kurang sama aje.. Cuma ita lebih suka nenas tu diparut. Ita buang dahulu empulur tengahnya dan ita parut. Biasa kalau sebijik nenas tu ita hanya parut sebelah sahaja yang sebelah lagi tu ita dadu. Untuk menyediakan air batu Malaysia nenas pun ita biasa guna cara yang sama.
Nenas yang dah parut dan dadu tadi ita masukkan ke dalam periuk bersama sedikit air. Air tu terpulang lah nak banyak ke nak sikit. Agak-agak aje lah kan.. pas tu letakkan gula. Gula pun ikut citarasa kita. Biasa ita suka buat manis sikit sebab nanti nak letak ais.
Kemudain kita masak lah sampai gula larut dan terbit aroma nenas dari buah nenas yang kita parut tadi.. satu rumah berbau nenas tau!
Bila dah didih, ita tambahkan pewarna kuning dan letakkan sedikit esen nenas.
Biar dia masak sekejap kemudian tutup api.
Biarkan ia sejuk. Bila dah sejuk masuklah dalam botol dan letak dalam peti ais supaya sejuk. Bila nak menghidang letakkan ais untuk rasa yang lebih dingin dan segar. Mudah je kan..
SELAMAT BERPUASA



