Selasa, 31 Juli 2012

BISKUT TOPI




Assalamualaikum, dan selamat sejahtera buat sahabat-sahabat ita di luar sana..
Alhamdulillah kita masih lagi berada dalam bulan Ramadhan.
Bagaimana kesihatan kawan-kawan ita sekalian, ada yang mula sakit-sakit pinggang..?  hehe  almaklumlah.. masing-masing dah mula sinsing lengan untuk mulakan projek mengukis.

Tak pe lah kan sakit pinggang, sakit tenguk sikit-sikit.. tapi bila lihat kuih tersusun dalam balang senyum melerit sampai ke telinga. Lebih-lebih lagi bila mendapat pujian dari keluarga.. bertambah berbunga-bunga dalam hati..


Hari ni ita nak kenalkan dengan satu lagi biskut raya yang telah ita siapkan iaitu Biskut Topi. Rasa-rasa ramai yang dah mengenali biskut topi ni..
Biskut topi ni popular seingat ita pada era 80an. Zaman ita masih kanak-kanak lagi. Nak kata kanak-kanak sangat pun tak jugak lah.. rasa-rasa waktu tu ita baru masuk sekolah menengah kot..

Biskut ini kalau tak silap pernah keluar dalam majalah Wanita rasa-rasanya..
Selepas kemunculan biskut ni buat pertama kalinya maka berebut-rebutlah semua suri rumah dan anak-anak dara membuat kuih ni yang cukup popular masa tu..
Boleh dikatakan setiap rumah yang kita ziarah pada hari raya mesti ada biskut topi ni.. Kalau tak de tu.. macam tak cukup lengkap hidangan yang di sajikan atas meja tu.. 'tak gereh seh...' sepatah kata warga Singapura...

Begitulah hebatnya penangan biskut topi ni suatu waktu dahulu..


Rumah mak ita juga tak terkecuali dari membuat biskut topi ni .. ya Allah kalau tak buat ada yang merajuk sampai masuk bawah katil lah kata orang tu..
hehe tapi bukan ita lah orang tu..
Ita ni dulu tak minat buat kuih-kuih raya ni.. tapi sekarang kena lah buat sebab dah ada rumah sendiri dan dah ada tanggung jawab..

Kalau tengok kakak-kakak ita buat kuih ni kan.. kesian ita tengok.. ada sampai tertidur-tidur kat dapur menunggu biskut di bakar. Ialah dulu mana ada oven karen macam sekarang ni.. semua guna oven yang letak atas dapur minyak tanah.. kalau tak silap cap kupu-kupu..
Bila tertidur sedar-sedar dah rentung biskut atas dapur.. pas tu mula lah naik angin satu badan.. dah lah penat kuih pulak rentung.. nasib.. nasib..

Bila pergi sekolah mula lah tersenguk-senguk masa cikgu mengajar.. cikgu pun apa lagi sindir le... " curi ayam ke malam tadi??"


Kat sekolah pun tak habis-habis dok bercerita pasal biskut raya.. Sampai berlumba-lumba siapa punya biskut raya yang paling banyak.. haha
Siap tanya lagi ni.. biskut apa yang kawan-kawan dah buat.. kalau tak tersenarai dalam balang kat rumah tu.. uik.. balik sekolah tak sempat bukak baju dah nak uli kuih raya.. aduyaiiii.. sabor je le..
Itu lah kan gelagat raya zaman dulu-dulu.. hihi lucu jugak kalau di kenang-kenang..

Anak-anak sekarang ni kurang bercakap pasal biskut raya sebab bila raya semua dah terhidang atas meja..
Bila tanya mak buat kuih apa?
Dia kata " kuih Angsana"
Kuih apa tu???
"kuih tunjuk-tunjuk.."
hehe


Resepi biskut topi ni ita ambil waktu google-google.. jumpa lah resepi hasil perkongsian dari adik Zilla yang dikatakan resepi dari ibunda tersayang..
Terima kasih Zilla kerana sudi kongsikan resepi istimewa ni.. Akak minta izin untuk kongsikan di sini pula ye..
Kita panjang-panjang kan ilmu semoga adik Zilla sekeluarga memperolehi keberkatan..

Resepi asal mengunakan sukatan auns dan ita dah tukar kepada gram untuk memudahkan dikemudian hari
Cara membuat biskut ni mudah aje.. yang rumit bila nak letak aising, mengigil-gigil jugak lah kan tangan ni..
Biskut ni sangat rapuh jadi kena berhati-hati sikit masa mengendalikannya..
Dapat pun tak banyak sangat cukuplah untuk sebalang.. kalau nak bagi mertua kenalah buat lagi..
Bakar kena guna api bawah sahaja sebab biskut cepat hangus jadi kena sentiasa perhatikan biskut dalam oven..
Tunggu biskut sejuk betul baru boleh keluarkan dari loyang sebab kalau masa panas kita keluarkan ia mudah patas sebab rapuh..

Jom kita cuba!


BISKUT TOPI
By : Zilla

180 gm butter atau margerin ~ lembutkan
145 gm gula halus atau gula perang
1 biji kuning telur ~ putih telur jangan buang sebab nak guna untuk icing
1 sudu teh esen vanila
1/2 sudu teh baking powder
60 gm tepung jagung
60 gm tepung kastard
Tepung gandum atau tepung ros secukupnya ~ tiada sukatan


Panaskan oven pada suhu 170 C bergantung pada oven masing-masing
Sediakan loyang pembakar. Leserkan dengan sedikit butter. Ketepikan

Pukul butter dan gula halus dengan speed sederhana hingga kembang
Masukkan kuning telur dan esen vanila dan teruskan memukul
Perlahankan speed mixer
Tambahkan baking powder, tepung kastard dan tepung jagung gaul rata
Masukkan tepung gandum atau tepung ros sedikit-sedikit ke dalam adunan sehingga adunan menjadi doh yang lembut dan tidak melekat pada jari.
Pastikan jangan terlebih tepung supaya adunan tidak terlalu keras.


Canai adunan nipis, di atas 2 lapik plastik, supaya adunan tidak melekat-lekat.
Terap adunan dengan acuan bulat sebesar duit siling 50 sen
Susun atas loyang pembakar
Canai lagi adunan kali ni tebal sedikit anggaran 1 cm tebal
Terap pula adunan dengan acuan bulat sebesar duit syiling 5 sen
Letakkan ia atas adunan terapan 50 sen tadi.
Tekan sedikit supaya ia bujur sedikit.
Bakar dalam oven dengan suhu 170C api bawah selama 20 ~ 25 mint atau sehingga biskut masak sempurna.
* kena sentiasa perhatikan biskut dalam oven kerana ia mudah hangus.
Bila dah masak biarkan biskut sejuk sepenuhnya.
Sekarang kita sediakan pula icingnya

ICING

1 biji putih telur
200 gm gula icing
1 sudu teh jus perahan lemon

Satukan telur, gula icing dan jus lemon dalam bekas pemutar
Putar adunan sehingga kental
Bahagikan adunan kepada berapa bekas dan warnakan dengan pewarna kesukaan
Masukkan dalam piping bag
Paipkan atas biskut, buatkan bentuk riben dan bunga
Hiaskan mengikut kreativiti masing-masing.
Biarkan icing keras
Simpan biskut dalam bekas kedap udara.


SALAM RAMADHAN



Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+

Related : BISKUT TOPI